Izinkan Aku

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah biiznillah, syukur dipanjatkan pada Yang Maha Kuasa atas segala nikmat hingga ke hari ini. Ujian juga suatu nikmat kan? :).

Hari ni berjaya siapkan satu cerpen yang telah berbulan lamanya tertangguh sampai lupa sudah jalan cerita asal. Hahaha.

Cerita ini juga dikarang sebelum saya sendiri dapat tahu sakit demam dan sakit kepala yang selalu dialami bukan sakit dari istilah Sains Perubatan semata, sakit yang datangnya dari alam sana juga. hahaha. 

Jalan cerita ada yang bersangkut dengan realiti, ada yang tidak. 
Semoga terhibur membacanya ya :)





“Alhamdulillah, dapat juga parking kat depan ni,”

Jam di tangan dipandang sekilas lalu. 11 pagi.

Dahinya berkerut seribu. Dada berombak menahan kesakitan. Secara tiba-tiba rasa itu datang kembali. Mata dipejam erat.

“Allah, Allah, Allah, Allah,” dalam menahan kesakitan, tidak henti bibir melafazkan kalimah tersebut. Angin sejuk penghawa dingin kereta sedikit sebanyak turut membantu melegakan ketegangan yang dialami.

“La... kan aku dah bagitahu tadi, aku akan sampai dalam setengah jam. Aku baru balik ni. Bagilah aku letak dulu barang-barang ni. Then, aku shoot terus ke sana. Kalau tak jam, kurang dari setengah jam aku akan sampai,” satu keluhan kecil dilepaskan. Payah juga dapat teman sekerja yang tidak memahami ni.

“Ok lah beb. Jumpa kau kat sana je. Chow,” Syaraf terus mematikan panggilan tanpa menunggu sebarang respon dari rakannya itu. Dalam menahan rasa geram, matanya ligat melilau sekeliling mencari parking yang mudah untuk dia ke lif utama.

“Alhamdulillah, cantik. Depan laluan lif ni. Cari parking waktu orang bekerja gini adalah sesuatu yang terbaik sangat. Banyak kosonglah katakan,” signal diberi dan terus dia memarkirkan kereta putih miliknya dengan memasukkan bahagian belakang dahulu ke kotak parking.

Sebaik sahaja enjin dimatikan, Syaraf menoleh ke sisi kirinya. Dia mula tersengih tanpa sebab.

“Bila masa pula dia ni letak kereta kat sini? Pagi tadi kat tempat lain kereta dia ni,” tiap kali nampak kelibat kereta merah menyala itu, tiap kali itu jugalah dia akan bertanyakan soalan yang sama pada dirinya sendiri.

Tanpa melengahkan masa lagi, Syaraf cepat-cepat mengeluarkan barang-barang dari tempat duduk belakang. Dia hanya ada 10 minit sahaja untuk simpan barang tersebut serta mengasingkannya untuk dibawa dan diserahkan pada Zarif nanti. Sempat matanya mengerling ke kereta merah di sebelah.

“Kenapa tak sakit macam ni waktu di hospital tadi? Allah...”mata masih terpejam.
*******

“Pukul berapa kau nak datang sini? Tadi kau cakap kurang dari setengah jam kau dah ada kat sini dah,”
            
             Syaraf dengan muka selamba melangkah keluar dari lif. Kunci kereta digenggam erat. Kereta kesayangannya dipandang dari jauh. Kemudian matanya terarah pula ke sebelah keretanya. Merah menyala sungguh kereta tu.
              
         “Kalau aku sampai sana pun bukannya sempat kita nak mulakan discussion. Baik mula lepas solat Jumaat. Kau ingat barang yang kau suruh aku bawa ni sikit? Sepuluh minit je dah aku habiskan untuk asingkan semua ni. Sepuluh minit kau tahu tak? Elok-elok dah kiranya aku sampai sana, kita makan dulu, solat, then baru bincang soal kerja.”

                “Okey lah, aku nak gerak dah ni. Jumpa sana,” sekali lagi, tanpa menunggu Zarif membalas apa-apa, talian telah dimatikan.

                Syaraf menggeleng kosong. Kecoh sungguh Zarif ni. Bukan mati pun kalau tak dapat siapkan projek tu. Dateline pun lambat lagi. Kecoh betul. Syaraf meletakkan tiga beg plastik besar di hadapan pintu hadapan sebelah pemandu. Telefon bimbit disimpan dalam kocek, pintu kereta dibuka, dan kesemua plastik dimasukkan dalam kereta.

                “Eh, ada orang dalam ni,” Syaraf memerhatikan tingkap pemandu di sebelahnya. Didekatkan dirinya dengan tingkap itu.

                “Sejak bila minah ni ada dalam kereta ni? Sejak aku parking tadi ke? Tidur ke dia ni? Asal kerut semacam je minah ni? Pengsan ke?” bermacam jenis soalan menerpa kotak fikirannya kini. Nak ketuk tingkap bertanya ke, panggil guard ke atau mind your own business?

“Tuk! Tuk!”
Aufa tersentak, namun matanya masih terpejam. Bunyi apa pula tu?

“Aaaa...awak yang kat dalam ni!” dalam kekok Syaraf terus menerus mengetuk tingkap kereta.

“Siapa pula ni?” dengan mata yang masih terpejam, tangannya meraba punat untuk menurunkan sedikit tingkap sisi.

“Sorry ganggu. Tidur ke?” Syaraf sendiri mencebik. ‘Soalan apa pula yang aku tanya minah ni?’

“Saya parking kacau kereta awak ke?" Aufa menjawab dengan melontarkan semula pertanyaan.

“Awak parking molek dah. Cuma curious je tengok awak lama sangat dalam kereta. Dari saya naik atas sampai saya turun bawah ni, ada lagi awak dalam kereta ni,” Terasa dirinya benar seorang kaki penyibuk. Busy body.

Dengan kudrat yang ada, Aufa memaksa matanya untuk dibuka. Dahinya makin berkerut, menahan sakit dan juga silauan pantulan cahaya yang memasuki ruang korneanya.

‘Oh, mamat kereta Alza ni ke? Dah kenapa concern sangat dia ni? Kenal pun tak,’ Aufa mengalihkan bebola mata memandang Syaraf yang masih tegak berdiri di luar kereta.

“Awak okey ke?

“Saya bukan nak menyibuk, tapi lama sangat awak duduk dalam kereta ni. Sunyi sini awak, bahaya duduk dalam kereta sorang-sorang. Ke awak tengah tunggu orang?” berdebar pula bila bertentang mata dengan minah ni. First time bertegur sapa ni.

                “Saya nak rehat kejap. Kepala saya sakit sangat ni. Nanti dah reda, saya naiklah. Terima kasihlah ye,” Aufa pantas menjawab. Kepalanya makin berdenyut.

                “Nak gi hospital ke?” Syaraf tidak berputus asa. Dah alang-alang boleh bersembang ni, baik teruskan je sampai naik menyampah.

                Aufa menggeleng. Dinaikkan sedikit tingkap keretanya sebagai isyarat perbualan antara mereka dihentikan.

                “Eh awak! Ke awak nak saya temankan awak jalan sampai lif depan tu? Kalau awak tak kuat nak jalan sendiri, saya boleh temankan,” Syaraf berkerut sendiri. Macam mana pula mulut ni boleh berkata begitu. Malunya.

                Aufa tersenyum. Hari Jumaat yang penuh barakah ini jugalah dia dipertemukan dengan lelaki yang unik dan pelik. Psiko pun ada juga kalau dilihat gayanya begini.

                “Awak jangan salah faham pula. Saya tak ada niat lain tau. Saya nak tolong je. Alang-alang saya dah ada kat sini, kalau awak perlukan pertolonganlah. Saya tahu ini first time kita bual gini, tapi saya selalu nampak awak. Kita pun pernah satu lif kan? Sebab selalu nampak awaklah, saya beranikan diri bertanya awak okey ke tak. Kalau awak memang saya tak pernah nampak mahupun jumpa, saya tak akan tegur tanya keadaan awak macam sekarang ni tau. Tolong jangan salah faham.”

                Aufa makin lebar tersenyum. Diturunnya kembali tingkap ke paras seperti sebelum ini.

                “Terima kasih. Tak pe, saya boleh je ni naik sendiri. Tak perlu awak nak teman, dan tak perlu nak ke hospital. Benda ni dah biasa bagi saya. Terima kasih banyak banyak...”

                “Syaraf. Syaraf Zulkifli,” Syaraf bersuara.

                “Terima kasih Syaraf,” redup dan tenang sahaja pandangan Aufa pada Syaraf. Kepalanya masih terasa sakit dan matanya tidak boleh dibuka besar-besar.

                “Okey lah kalau begitu. Saya gerak dahulu. Maafkan saya kalau menganggu. Jaga diri baik-baik.”

                Aufa menggeleng kecil sambil memerhati lelaki berbaju biru itu masuk ke dalam perut kereta.
*******

Thank God. HE opens up your heart setelah setahun you jadi macam ni. Ada juga among pesakit I, langsung tak nak buat rawatan. Bahaya sebenarnya tau.”

                Muka Aufa merah padam. Malu. Tidak pasti sama ada kata-katanya itu ayat penyata ataupun sindiran.

                “I already explained to you options that you have on our last consultation session. Sekarang ni, terpulang pada you nak yang macam mana. I can’t force you. I’m here to guide you, to consult you, and give best solution to you.”

                Aufa serba salah. Seminggu yang lepas, sekembalinya dari janji temu dengan doktor pakar, dia diserang sakit kepala yang teramat sangat. Sakit yang menyebabkan dirinya tidak mampu bergerak ke mana-mana dan terbaring dalam kereta tiga jam lamanya.

                “Do you still remember the three options I gave to you? And you still remember the one that the best for you so far?” soalnya kembali setelah dilihat Aufa termenung sahaja.

                Aufa mengangguk perlahan. “Saya ingat doktor.”

                “Good dear,” Doktor Premida menyambung menulis semula di atas kertas preskripsi ubat yang ingin diberikan pada Aufa.

                “Tapi doktor...” Aufa menarik nafas perlahan-lahan. Doktor Premida memasang telinga sambil tangannya ligat menari menulis apa yang perlu.

                “Kalau saya terima option yang doktor bagi tu, I will loss my career. Macam mana pula dengan kos perubatan semua? Susah pula hati saya.”

                Doktor Premida hanya tersenyum. Dihabiskannya menulis ke titik terakhir.

                “You bawa ini form, they will give you the medicine. Do as what I told you before. Consume it. Take it. Eat it. Do not miss it.”

                Aufa melihat borang ubat yang penuh dengan tulisan cacing kerawit Doktor Premida. Satu apa pun dia tidak faham. Macam manalah yang lain boleh faham tulisan begini.

                “Aufa,” Doktor Premida lembut menyapa. Tersenyum.

                Aufa kembali memandang wajah doktor yang tidak pernah jemu melayannya.

                “Untuk kita berikan hasil kerja yang baik, diri kita harus jadi baik dan sihat. You worry too much on people but not to yourself. Please, take a moment in your life, to think about yourself first. Diri you need more attention than your boss, your job, etc. Susah macam mana pun you nanti, even people will walk out from your life easily. The things you worry too much let Him handle it. Please, think of yourself first. Go back, and think. Next week, you have to tell me your decision so that we can move on to the next stage. Masa tak menunggu kita.”

                “Aufa Rudainah!”

                “Astagfirullah,” ujar Aufa perlahan dek terkejut dengan panggilan rakan sekerjanya.

                “Asallah termenung je manjang seminggu dua ni? Tu telefon tu. Dah tiga kali berbunyi, kuat pula tu. Kau dengar ke tak dek non?”

                Dicapai telefon bimbit untuk melihat siapa yang menelefon.

                “Ayah aku call weyhh. Astagfirullah. Macam mana aku boleh tak dengar?” Aufa bersuara.

                “Itu tandanya kau berangan je manjang.”

                “Ala, kau pun selalu berangan. Apa salahnya aku pula nak berangan kali ni,” balasnya dalam nada gurau sambil mendail semula nombor ayahnya.

“Ada mana?”

                “Kat office lah. Kenapa?”
                “Jadi ke minggu ni?”
                Aufa diam seketika.
                “Adik...jadi ke?”
                “Adik tak cakap lagi dengan bos semua.”
                “Adik cakap hari ni. Ayah tak nak tangguh-tangguh lagi.”
                “Baik, ayah.”
                “Ingat tau, cakap hari ni.”
                “Baik.”
                “Jaga diri tu. Assalamualaikum.”
                “Ayah pun. Waalaikumussalam.”

                Aufa mengeluh.

                “Aishah, kau ada nampak Encik Halim tak?”

                “Tak silap aku, dia ada dalam bilik Puan Maznah. Bincang apa entah mereka dua tu. Ada projek barulah tu.”

                Aufa hanya tersenyum. Lantas dia bangkit dan terus melangkah ke bilik Puan Maznah, AGM unitnya. Puan Maznah mahupun Encik Halim sangat senang untuk didekati, juga sangat ramah. Meskipun begitu, Aufa tetap merasa sedikit gugup untuk menyampaikan berita ini. Dia gusar andai apa yang ingin dia sampaikan nanti ditolak hidup-hidup oleh mereka berdua.

Sampai sahaja di muka pintu, Aufa menarik nafas dan menghembusnya perlahan. Bibirnya terkumat-kamit. Entah apa yang dibacanya.

                “Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu Puan Maznah dan Encik Halim.”

                “Aufa! Masuk-masuk. Tak ganggu pun. Nak jumpa saya ke atau manager awak?” Puan Maznah ramah menegur. Encik Halim pula menoleh ke belakang sambil tersenyum.

                “Saya nak jumpa Puan Maznah dan Encik Halim. Dua-dua sekali saya nak jumpa. Tak lama.”

                Encik Halim mula berkerut namun wajahnya sentiasa tenang. Puan Maznah sedikit terkejut.

                “Sila masuk Aufa. Duduk sebelah bos awak ni. Kita bincang.”
*******

Aufa kelelahan. Bersandar seketika melegakan ketegangan yang ada. Sedar tak sedar sudah mengenjak ke jam 12.30 tengah hari. Pantas sungguh masa berlalu. Emel masih bertalu-talu masuk ke dalam akaun dan masih banyak yang belum dibaca serta dibalas, mana yang perlu.

                “Aufa!” dek nada yang tinggi itu berjaya mengubah posisi Aufa kembali tegak. Kenal benar dengan si pemilik suara ini.

                “Bertuah badan awak ya Aufa, pergi mana-mana dalam ofis ni pun semua kenal awak,” Encik Halim menyinggah ke tempat Aufa sambil meletakkan beberapa dokumen yang telah ditandatangani oleh pihak atasan.

                “Panggil ada makna tu bos. Tu mesti nak minta tolong apa-apalah tu,” Aufa menduga.

                Encik Halim ketawa kecil, “Apa-apa sahajalah Aufa. Masukkan dokumen ni dalam laci utama ya. Bos besar dah setuju dengan projek tu. Lepas ni, bolehlah awak latih budak baru nanti,” sambungnya sambil tersenyum manis.

                Aufa terdiam sendiri. Matanya tidak berkalih langsung dari memandang wajah tenang bosnya itu.

                “Terima kasih bos. Terima kasih,”

                Encik Halim mengangguk kecil lalu berlalu pergi. Aufa pula tersenyum. Bersyukur kerna mempunyai majikan yang sangat memahami dirinya, seolah-olah bagaikan seorang ayah padanya. Walau ada masanya rasa tertekan dengan bebanan kerja yang ada, mempunyai bos yang sedemikian sedikit sebanyak dapat meredakan kekalutan yang dialami.

                “Aufa!” suara yang tinggi tadi kini sudah berada di sebelah telinganya sahaja.

                Aufa menjeling tajam dan berkalih menghadap susuk tubuh yang tinggi lampai itu. “Kau dah kenapa jerit nak bagi satu ofis dengar? Tak boleh ubah sikit ke perangai kau tu?”

                Justin ketawa besar. Itulah Justin. Berasal dari Sabah dan mempunyai nada suara yang agak luar biasa dari yang lain. Juga seorang yang sangat peramah.

                “Sorry bah. Mana boleh aku ubah suara ni. Kau tak makan?” Justin mengangkat sedikit punggungnya lalu terus duduk di atas meja Aufa. Kaki disilangkan.

                “Makanlah. Memang aku lapar pun. Kau nak belanja aku makan ke?” kening diangkat.

                Justin sengih lalu menunjuk-nunjuk meja bulat di bahagian belakang yang sudah diduduki oleh dua lagi rakan sekerjanya.

                “Isteri aku ada potluck ini hari di pejabat dia. Banyak pula makanan lebih. Itu aku ada letak situ. Jomlah makan sekali. Lama sudah enggak makan sama kau. Sibuk manjang aja.”

                “Susah betullah kalau kerja dalam unit yang 90% lelaki ni. Mana-mana pergi semuanya lelaki. Mujurlah aku masih single, kalau tak payah juga nak explain sama laki aku nanti.”

                Terimbau kembali saat dia mula-mula ditemuduga oleh Encik Halim dan Puan Maznah. Awal-awal lagi dia sudah dimaklumkan bahawa majoriti yang bekerja dalam unit tersebut adalah lelaki. Bagi Aufa, selagi dia boleh menjaga dirinya, dengan sesiapa pun boleh dia bekerja.

                “Kalau gitu, kau kahwin sudah dengan yang ada sini. Ramai lagi yang bujang bah,” Justin menjawab bersahaja.

                Aufa mencebik. “Cukuplah aku ada satu kawan macam kau. Rata-rata sini perangai sama juga dengan kau bah. Aku rela membujang tua tau.”

                “Eh, jomlah makan. Banyak lagi kerja kena hantar ni. Itulah kau, asal kau datang sini saja, merepek-repek saja sembang,” Aufa pantas membetulkan niat asal Justin bertemunya.

                Justin mengeluarkan sepaket nasi ayam dari plastik yang masih diikat kemas. Tidak berusik.

                “Korang sudah makan ke?”

                Izwan dan Prateek yang masing-masing leka dengan telefon bimbit geleng kosong.

                “Kami tunggu kaulah. Mana seronok makan dua ja dengan Prateek ni.”  

                Aufa mengambil tempat bertentangan dengan Justin sambil tangannya ligat membuka lipatan paket nasi. Tangan ditadah membaca doa dan terus dicubit sedikit ayam dimasukkan ke dalam mulutnya.

                “Pandai isteri kau masak Justin. Sedap bah,” puji Aufa ikhlas.

                “Ala kau Aufa. Apa sahaja yang tak sedap bagi kau kalau dah libatkan makanan?” Izwan menyampuk.

                “True! Sebut sahaja nama Aufa, whole world sudah tahu,” Prateek menambah.

                “Haaa sudahlah! Aku dilahirkan sebagai seorang yang tahu bersyukur dan menghargai makanan. Engkau orang apa tahu?” Aufa berusaha membela diri. Sering kali dirinya menjadi bahan usikan rakan-rakan sekerja, namun sedikit pun dia tidak berkecil hati. Dia tahu mereka bergurau.

                Empat sekawan yang duduk di meja bulat di bahagian belakang ofis masing-masing sedang menikmati juadah tengah hari mereka. Berselera sungguh semuanya. Diam masing-masing.

                Sedang asyik mengunyah, Aufa bersandar sambil nafas tercungap-cungap. Mata terpejam.

                “Kau kenapa ni? Pedas ka nasi tu?” Justin berhenti mengunyah. Dia kenal benar dengan Aufa yang kuat makan tapi tidak boleh makan pedas langsung.

                Izwan dan Prateek terkebil-kebil memandang Aufa yang tiba-tiba tercungap-cungap serta tangannya erat digenggam.

                “Tolong aku boleh?” dalam mencuri nafas, Aufa tetap cuba bersuara.

                Justin, Izwan, dan Prateek memandang sesama mereka. Soalan itu ditujukan buat siapa?

                “Atas meja aku, ada kotak merah, dalam kotak tu ada dua papan ubat. Tolong bawa sini. Tolong. Cepat,” Aufa memberi arahan.

                Prateek pantas bangun. Arahan yang diberi Aufa diterima baik dan tepat memasuki sel-sel otaknya.

                “Aufa, kau kenapa ni? Sampai berpeluh-peluh ni. Aku panggil Kak Eton nak? Boleh bawa kau ke klinik,” Izwan semakin bimbang.

                Aufa cuba tersenyum lantas menggeleng. “Aku okey ni.”

                “Okey apa gini? Berpeluh, tercungap-cungap. Aku tak letak racun tau, julap pun tak ada,” Justin cuba meredakan keadaan dengan sendanya.

                “Buat lawak pula kau waktu macam ni,” Izwan sedikit baran.

                Prateek yang tadinya bergegas ke meja Aufa sudah kembali bukan membawa dua papan ubat, tapi sekotak merah. Telah dibukanya kotak tersebut tadi, banyak sangat papan pil ubat di dalamnya. Dari tersalah bagi, baik bawa terus satu kotak.

                Aufa mengumpulkan kudratnya membuka kotak merah tersebut. Satu pil ditelannya. Warna hitam. Kemudian, satu pil lagi berwarna putih ditelannya. Aufa memejamkan matanya semula dan berharap sakit yang datang mengejut itu hilang serta merta.

                Tiga jejaka di hadapannya hanya memerhatikan gerak geri Aufa. Mereka sudah tidak lagi menyambung makan. Gusar melihat perubahan pada Aufa. Inilah kali pertama Aufa kelihatan sebegitu rupa.

                “Alhamdulillah biiznillah. Maaf geng. Kepala aku sakit. Mungkin terlalu leka sangat menghadap kerja tadi sampai sakit kepala ni,” Aufa bermanis muka. Pucat masih berbekas.

Sakit kepala yang menyerangnya tadi beransur hilang. Lewat sikit sahaja dia makan ubat, sakit itu pasti akan menyengat. Kotak merah ditutupnya semula.

                “Ubat apa tu?” Izwan mula menyoal.

                “Sejak bila kau sakit kepala macam ni?” Prateek pula menyambung.

                Aufa menelan air liurnya. “Sambung makanlah weyhh. Sejuk sudah nasi ni. Tak elok buat rezeki macam ni,” Aufa cuba mengubah topik perbualan.

                “Aufa, aku kenal kau sudah lama. Apa kau cuba sorok ni?” Justin pula bersuara.

                Aufa terkedu. Pandangannya jatuh pada Izwan sebelah kanannya, kemudian pada Prateek sebelah kirinya, dan pada Justin yang berada di hadapannya. Serba salah. Wajarkah dia buka pekung dadanya sendiri? Cukuplah Encik Halim dan Puan Maznah sahaja yang mengetahuinya.

                “Kita habiskan makanan dulu ya?”
                 *******
“Memang kena buat semua kerja ni ke?”

                Farhan mengeluh. Aufa di sebelahnya hanya tersenyum sahaja.

                “Baru seminggu je ni. Tak kan dah mengalah? Dik, kira untunglah kerja kamu duduk ofis je. Sebab kebanyakan staf lelaki yang ada sini, mereka kena keluar. Tapi, kamu dikecualikan. Belajar rajin-rajin kat sini. Sini kerja je macam hantu gila, tapi orang-orang yang ada di sini baik-baik tau,” Aufa memberi sedikit kata-kata semangat. Walaupun waktu berkhidmatnya tidak lama, tapi sepanjang bekerja di situ, dia sangat berpuas hati.

                “Aufa? Semua barang awak dah siap packing dah? This week is your last week right?”

                Aufa dan Farhan terus mengalihkan perhatian pada Encik Halim.

                “Sudah bos. Alhamdulillah semuanya selesai. Handover ni pun dah nak habis dah. Insha-Allah esok habislah scope section ni. Farhan dah boleh bergerak sendiri dah lepas ni,” balas Aufa ringkas.

                “But if anything, I still can ask you kan Kak? Seminggu lebih belajar semua benda memang cramp otak saya ni,” Farhan pula bersuara. Encik Halim hanya mendengar.

                “You can ask me also,” Encik Halim menyampuk.

                “Memanglah boleh. Encik Halim kan bos kitaorang,” balas Farhan semula.

                Encik Halim dan Aufa ketawa kecil. Aufa yakin, Farhan boleh pergi jauh. Dia nampak je selekeh dan poyo tapi dalam soal kerja, dia sangat komited.

                “Saya ada meeting kat bawah. Kalau ada apa-apa yang penting, whatsapp saya ya,” Encik Halim meminta diri.

                “Kak, boleh kan saya kacau akak kalau akak dah balik sana?” Farhan melontarkan semula pertanyaan yang sama.

                Aufa merenung lembut wajah Farhan. “Boleh dik, subject to, ingatan akak ni masih ada. Dan akak tak lupa apa yang akak sudah belajar selama berada di sini.”

                “Maksud akak?” Farhan benar tidak mengerti jawapan Aufa.

                “Tanya je dik. Inshaallah akak akan tolong. Dah, cepat siapkan slide tu. Encik Halim nak benda tu petang nanti,” balasnya sambil tersenyum.

                Aufa termenung seketika. Jelas riak resah pada wajahnya. Seketika kemudian, dia menyambung semula kerja yang masih tertangguh.

                “Saya akan hilang ingatan ke Doktor?”

                “Well, based on result, 80% it will lead to that. But, who knows, God is so much kind, it will be another way round. You mungkin akan ingat semuanya,” Doktor Premida tersenyum.

                “Mungkin? If it happens, saya akan lupakan sekali keluarga saya ke?” Aufa kembali menyoal. Resah kembali bertaut di hatinya.         

                Doktor Premida hanya mendiamkan diri. Dia tidak berani memberi sebarang kata janji pada pesakitnya.

                “Just pray dear. You will be fine,”
*******

Syaraf merenung ke luar jendela. Walaupun tiada yang menarik untuk dilihat dari sudut itu, dia memang suka duduk di situ dan termenung.

                “Rasa-rasanya dia tahu tak aku selalu stalk dia? Rasa-rasanya dia tahu tak aku selalu nak parking sebelah kereta dia? Rasa-rasanya dia tahu tak aku nak sangat kenal dengan dia tapi aku ni pemalu gila nak cakap,” Matanya tetap pada kereta milik Aufa.

                “Rasa-rasanya, dia tahu tak semua tu?” omelan perlahan dilepaskan.

                “Eh!” Syaraf membeliakkan matanya.

                Kelihatan Aufa di tingkat bawah sedang memasukkan beberapa buah beg ke dalam keretanya. Aufa dibantu dengan dua orang lagi. Syaraf tidak berkerdip melihat dari jendela itu.

                “Cuti lagi minah ni. Kerap sangat cuti. Minggu lepas tak silap aku pun dia angkut beg-beg macam tu. Kerja apa sebenarnya minah ni?” Syaraf menongkat dagu.

                “Kalau dia dah bertunang macam mana?”

                Syaraf hanya memerhati. Kereta merah milik Aufa meluncur laju keluar ke pintu pagar utama. Syaraf hanya tersenyum kecil. Melayan perasaan sendiri. Melayan seronok sendiri.

                “Kalaulah boleh aku bagitahu dia. Mimpi sahajalah aku nak bagitahu kan.”
*******

“Assalamualaikum.”

Pintu diketuk beberapa kali, bersahutan dengan loceng di sisi. Jam semakin hampir ke waktu Maghrib. Yakin dengan rasa hati, waktu begini sudah pasti ada di rumah.

                “Assalamualaikum,” sekali lagi pintu diketuk lebih kuat bunyinya.

                Pintu dikuak secara perlahan, hanya suku terbuka. Syaraf menghela nafas lega meskipun tidak nampak si pembuka pintu.

                “Nak apa?” tanpa menjawab salam, soalan terus ditujukan.

                “Maaf menganggu. Saya cari Aufa. Tak silap saya, Aufa tinggal di rumah ni.”

                “Memang awak silap. Tak ada nama Aufa sini. Silakan balik ya,” laju sahaja memberi jawapan kemudian dikatupnya semula pintu.

                “Eh, kejap!” Syaraf cuba menahan pintu dari tertutup rapat dengan menyelitkan kunci keretanya.

                “Mana boleh saya silap. Aufa memang duduk sini kan? Saya bukan orang jahat, atau penyamun, atau perogol atau nak jual barang. Saya datang ni nak jumpa Aufa, saya kawan dia,” Syaraf sedikit kalut.

                “Kalau awak kawan dia, awak telefonlah dia tanya dia duduk mana. Sini tak ada orang nama Aufa.”

                “Tapi…”

                “Baik awak lepaskan kunci ni sebelum saya jerit kasi semua jiran dengar.”

                “Saya tak ada nombor telefon dia, sebab tu saya datang terus ke rumah dia ni,” kerna berasa tergugat dengan ugutan, Syaraf melepaskan perlahan kunci yang diselitnya tadi.

                “Itu masalah awak. Dah, pergi! Gila punya orang!” pintu dikatup rapat. Kedengaran pintu itu diselak kuat dari dalam.

                15-A-08. Nombor unit itu tidak lepas diperhatikannya. Dia yakin memang inilah rumah Aufa. Dia sendiri lihat Aufa masuk ke dalam unit ini. Diekorinya Aufa secara diam setelah dilihatnya Aufa terhuyung-hayang berjalan sambil meraba-raba dinding kiri dan kanan.

                Tangan digenggam dan disuakan ke muka pintu. Mahu sahaja diketuknya lagi. Namun, niat itu dibatalkan saat azan Maghrib berkumandang. Tertunduknya kecewa.

                “Saudara ni cari siapa? Buat apa kat depan rumah ni?”

                Dua wanita berbaju kurung berdiri di sisinya. Syaraf langsung tidak sedar akan kehadiran mereka berdua.

                “Macam kenal je dia ni,” bisik perlahan salah seorang antara mereka.

                “Maaf menganggu senja senja ni. Saya datang nak cari Aufa. Orang dalam rumah ni tadi bagitahu Aufa bukan tinggal kat sini. Tapi saya yakin ini rumah dia.”

                “Adik ni siapa?” Rukaiah tenang menyoal.

                “Saya…” Syaraf menyusun kata.

                “Haaa… awak ni yang tinggal kat tingkat enam tu kan? Yang bawa kereta Alza putih tu?”

                Rukaiah menyiku Asiah yang tiba-tiba lantang bersuara.

                “Betullah tu. Saya memang tinggal kat tingkat enam dan saya memang ada kereta Alza putih,” Syaraf jujur mengia kan.

                “Eh, yang ni bukan yang…” Syaraf cuba mengingat seperkara dua.

“Kak, laki ni la yang tumpangkan saya dan Aufa balik dari pasar stadium dulu tu,” Asiah berbisik pada Rukaiah.

                Syaraf yang tersenyum kambing hanya terus kaku berdiri memandang mereka berdua.

                “Kalau adik cari Aufa, dia tidak lagi tinggal di sini. Dia sudah balik ke kampung sebulan yang lepas,” Rukaiah berterus terang.

                “Balik kampung?”

                Asiah mengangguk perlahan, begitu juga dengan Rukaiah.

                “Maafkan Kamela yang adik jumpa tadi. Dia masuk sini selepas Aufa keluar. Jadi dia tidak kenal siapa Aufa. Dah Maghrib ni dik. Tak manis orang lain pandang lelaki di depan rumah anak dara ni,” Rukaiah berbahasa basi, takut mengundang fitnah pula nanti.

                “Maafkan saya. Terima kasih ya,” Syaraf masih terkejut. Mindanya hanya mampu menuturkan ucapan terima kasih lantas terus mengatur langkah meninggalkan unit 15-A-08 itu. Rukaiah pula menyuakan anak kunci di muka pintu, manakala Asiah hanya memerhati Syaraf yang beberapa langkah menjauh.

                “Kak, boleh saya minta tolong akak?”

                Syaraf berpaling. Rukaiah dan Asiah saling berpandangan.
*******

“Buat sementara waktu ni, Adik tinggal dahulu dengan ayah dan ibu. Rumah pusaka tu ibu dah minta Mak Leha tolong tengokkan.”

“Lagipun, pengajian anak-anak Insaniah tu masih berjalan penggal ni. Dengan adanya pengajian tu, rumah Adik tu hiduplah sikit, ye dak?” Hamka menyambung.

“Terima kasih ibu, ayah, kerna layan Adik macam anak sendiri,” Aufa membetulkan duduknya. Kepala katil dinaikkan sedikit agar selesa bersandar.

“Adik kan memang keluarga kami. Adik rehat ya, kejap lagi doktor nak check Adik. Tu muka tu, nampak sangat pucatnya, nampak sangat penat tu,” Mariam, anak sulung Hamka dan Junaidah, menerpa masuk. Wajahnya manis tersenyum sambil mengangkat beg plastik yang berisi buah-buahan kegemaran adiknya itu.

“Bila Along sampai?” Junaidah menyahut salaman anaknya itu. Beg plastik sudah bertukar tangan. Junaidah meletakkannya di atas meja sisi Aufa.

“Baru je, alang-alang free ni kan, tu yang datang singgah. Petang nanti takut tak sempat nak singgah. Ingatkan nak bawa Aiman tu pergi beli kasut sukan.”

Aufa menghela nafas halus. Turun naik dadanya mengawal pola pernafasan yang semakin hari semakin tidak menentu. Badannya jua semakin detik semakin lemah dirasakan.

“Adik rehat ya. Nanti lepas doktor check semua, kita makan buah tu sama-sama. Banyak story nak bagitahu adik ni. Gosip panas ni,” Mariam melebarkan senyuman. Dahi adiknya dikucup lembut.

Hamka menurunkan semula kepala katil agar selesa Aufa melelapkan mata. Dia juga turut sama perasan dengan perubahan kesihatan Aufa sejak dimasukkan ke hospital untuk rawatan susulan. Wajah anak susuannya itu semakin hari semakin pucat dan tidak bermaya.

                “Keadaan Aufa tidak memberangsangkan. Darah beku yang sepatutnya berada di kawasan tengah ni telah berubah kedudukan. Malah, ia sudah berpecah kepada beberapa ketulan juga. Kita kena lakukan pembedahan secepat yang mungkin, walaupun risikonya sangat tinggi.”

                Hamka hanya menggeleng perlahan tiap kali cebisan ingatan itu ulang tayang di kotak fikirannya. Dirinya cukup gementar saat mengenangkan risiko yang bakal dihadapi oleh anaknya itu. Doa tidak pernah putus dipohon, sesungguhnya Allah jua Maha Penyembuh.
                *******

“Selamat pagi Cik Aufa. Jauh termenung.”
              
               Aufa tersentak kecil. Tersenyumnya sendiri saat disapa lembut oleh jururawat yang bertugas.
               
        Aufa yang mula bertongkat mengatur langkah ke katil. Menanti detik untuk pembedahan dilakukan cukup menyeksakan dirinya. Nikmat sihat diragut sedikit demi sedikit. Dia sudah tidak kuat untuk berjalan normal seperti sebelumnya. Tongkat adalah sahabat untuk kakinya kini.

                “Macam mana Cik rasa hari ni?” Anis, jururawat peribadi yang telah ditugaskan untuk menjaga segala hal kebajikannya, membantu Aufa ke katil agar langkahnya kemas menampung kesimbangan badan.

                “Saya rasa nak jalan-jalan keluar wad sekejap hari ni. Boleh ke Anis?” pinta Aufa lemah.

                Anis yang tegak berdiri di hadapan Aufa diam berfikir.

                “Tak jauh pun. Saya nak jalan-jalan dan duduk kat taman bawah tu. Nak hirup udara segar sekejap,” sambungnya kembali.

                “Cik Aufa kena banyak rehat sebab petang nanti Cik akan jalani pembedahan. Kena betul-betul rehat ni,” Anis tidak menidakkan jua tidak menyatakan persetujuan dengan permintaan Aufa.

                “Saya tahu pembedahan tu. Saya cuma nak hirup udara segar sikit. Boleh kan?”

                “Tapi Cik…” Anis serba salah mahu menolak permintaan Aufa, tapi pada masa yang sama dia juga sudah berjanji dengan kedua orang tuanya untuk tidak membenarkan Aufa keluar dari wad pada waktu genting sebegini.

                “Bawalah Aufa ni keluar sekejap Anis, tapi jangan lama ya. Half an hour is enough. Remember that you really need a good rest today Aufa,” Doktor Premida menyampuk. Ternyata kedua-dua mereka langsung tidak sedar dengan kehadiran Doktor Premida yang sudah berada di situ dari awal lagi.

                Aufa tersenyum manis. Hatinya girang kerna dibenarkan keluar dari wad walaupun hanya untuk setengah jam sahaja.

                “And, I believe, a friend of yours would like to join you too,” sambungnya lagi sambil tersengih-sengih.

                Aufa sedikit berkerut. A friend?

 “He is waiting for you outside. Anis, please take a good care of Aufa,”

He? Aufa semakin berkerut namun masih mampu tersenyum dan mengangguk kecil seakan faham akan apa yang diperkatakan Doktor Premida itu.

“Yes madam! It is my duty!” sahut Anis seakan-akan kadet polis sahaja.
*******
Warna warni bunga yang mekar di taman hospital itu benar-benar menenteramkan jiwanya. Berminggu lamanya dikuarantin dari menikmati keindahan ciptaan Ilahi ini benar-benar merundumkan semangat positifnya. Hari ini, seakan burung terbang bebas sahaja dirasakan. Tenang dan sungguh mendamaikan.

                “Maaf datang tak bagitahu dulu.”

                Aufa membiarkan sahaja suara itu melepasi telinga kiri dan kanannya. Enggan mahu bicara banyak kerna ingin elak dirinya dari cepat lelah. Ya, dia perlu banyak berehat tika ini.

                “Saya ada kursus di sini. Lama juga kursus tu. Saya dengan Zarif, teman bisnes saya. Tapi Zarif tidak datang sekali hari ini, dia kena jumpa client lebih awal. Lepas dari hantar dia tadi, saya terus ke sini.”   

                Aufa sekali lagi tidak memberi sebarang respons. Dia kelihatan hanya bersandar selesa sambil termenung memerhati kuntuman-kuntuman bunga di hadapannya.

                “Maaflah kalau saya ni banyak cakap dan menganggu awak. Saya tak tahu pula pembedahan awak hari ni. Saya minta maaf ya kacau awak pagi-pagi macam ni,” rendah nada bicaranya. Terbit rasa serba salah dalam benaknya melihat keadaan Aufa sedemikian. Apa yang dikhabarkan oleh teman-teman Aufa juga doktor yang merawatnya tidak seperti yang dia gambarkan. Mereka khabarkan Aufa sihat dan ceria, tapi pada mata kasarnya, Aufa begitu penat dan tidak bermaya. Mungkin apa yang dia dengari sebelum ini hanya mahu menyedapkan jiwa Aufa dan keluarga barangkali.

                “Terima kasih sebab datang,” Aufa tidak berpaling, hanya bibir menguntum senyuman.

                Syaraf tertunduk malu.

                “Macam mana awak tahu saya di sini?” Aufa kembali bersuara, lebih serius.

                “Panjang ceritanya, tapi dipendekkan, melalui teman-teman rapat awak, bekas housemate awak, dan juga family awak,” Syaraf jujur memberi jawapan.

                “Gigihnya awak kan. Kenapa?”

                “Tak semua perkara yang kita lakukan perlu ditanya kenapa,” balas Syaraf sambil menongkat dagunya di meja rehat itu. Matanya tertumpu pada Aufa yang duduk di hadapannya, kemudian pada Anis yang setia di sisi Aufa.

                “Tapi setiap sesuatu perkara harus disertai dengan niat. Harapnya awak tidak kesal dengan niat asal awak ke sini,” Aufa berbahasa basi. Hatinya walaupun ada sekelumit bahagia dengan kehadiran lelaki ini, namun gusar dan takut lebih banyak menghantui dirinya. Lebih-lebih lagi dengan keadaan dirinya yang lelah separuh nyawa.

                “Cik Aufa, kita perlu naik atas dah ni. Cik perlu isi perut dan makan ubat, kemudian harus rehat di bilik sementara tunggu untuk masuk ke bilik pembedahan,” Anis menghulurkan tongkat pada Aufa. Bukan niatnya mahu menganggu waktu privasi wanita tabah itu, tetapi sudah menjadi tangggungjawabnya mematuhi nasihat doktor.

                “Saya akan pimpin Cik Aufa sampai ke bilik,” Anis memaut lengan kiri Aufa, membolehkannya berdiri stabil dan melangkah dengan lebih cermat.

                Syaraf juga turut sama berdiri namun dibatalkan niatnya untuk ikut sama hantar ke wad. Cukuplah sampai di taman ini dia bersua muka dengan wanita itu. Melepaskan keinginan setelah berminggu lamanya mencari.

                “Saya harap, saat saya buka mata nanti, segala apa yang telah berlaku selama 27 tahun ini masih segar di ingatan, termasuk awak,” Aufa kembali mengukirkan senyuman memandangnya sebelum meneruskan langkah meninggalkan laman taman itu.

                Syaraf termangu mendengar isi hati Aufa.

“Buah hati ya Cik Aufa? Muka jambu sangat ni Cik,” Anis berbisik di telinga.

                Aufa tersengih kecil. “Itu pun jika saya masih ingat siapa dia bila saya sedar nanti.”

                “Dia akan lupa semuanya ke doktor? Tiada cara lain lagi?”

                “I did mention to her that, based on result, 80% it will lead to that. But, who knows, God is so much kind, it will be another way round. Just pray for the best, only for her.”

                Syaraf masih termangu. Melihat susuk wanita yang dia minati makin menjauh meninggalkannya.

Doa. Ya, itulah pengharapan terakhir yang boleh dia usahakan. Sebagaimana doa dipanjatkan untuk dipertemukan dengan Aufa, akan diusahakan jua memohon pada Yang Esa untuk kesembuhannya.

Aneh. Terpikat dengan empunya kereta berwarna merah itu saat pertama kali kereta mereka diparkir bersebelahan. Sikap Aufa yang kalut hingga terjatuh semua barang yang dipikul telah berjaya memikat hatinya untuk beranikan diri menyunting bunga tersebut. Sejak dari saat itulah, doa merupakan senjatanya, penghubung antara hamba dengan Maha Pencipta, titian meluahkan rasa.
*******
“Kau betul nak tinggal lama kat sini?”

“Kenapa tanya? Mak Cik Fira tu bising ke kita stay sini lama?” Syaraf menghirup kopi pekatnya perlahan-lahan.

Zarif bangun dari pembaringan sambil berselubung selimut. Sejuk aircond bilik menusuk hingga ke tulang.

“Dia tak bising pun, cuma aku susah hati je. Nak masuk seminggu lebih dah ni kita kat sini. Kursus kita kelmarin dah habis. Aku susah hati si Mail tu handle bisnes kita kat sana.”

Syaraf mengeluh kecil. “Tidak usah risaulah kau dengan Mail tu. Dia nampak je lurus bendul tapi budak tu boleh diharap. Kita pun perlukan pelapis juga untuk projek kita ni. Aku nak stay sini seminggu lagi, kalau kau nak balik, kau boleh balik dulu.”

Zarif terbuntang matanya. “Seminggu lagi? Lama tu. Kau nak buat apa kat sini? Kalau kau nak usahakan projek tu, baru first phase, mana boleh gerak apa-apa lagi selagi data kat HQ tak gerak. Mak Cik Fira tahu tak niat kau ni?”

Syaraf mengggeleng perlahan. “Aku cari hotel yang dekat-dekat sini. Aku nak tunggu Aufa sedar. Kalau kau nak balik, kau balik dulu.”

“Sahabat aku ni dah angau dah ni. Kau ingat, dengan adanya kau di sini, dia akan sedar? Macam cerita Hindustan pula aku rasa. Entah bilalah Aufa tu nak sedar,” Zarif mengangkat punggungnya dan bergerak ke meja bulat. Dengan masih berselubung selimut, dia bersandar di kerusi empuk berhadapan sahabatnya yang sedang asyik menghirup kopi panas.

“Entahlah Zarif. Hati ni tak senang nak balik selagi aku tak lihat sendiri dia sedar normal seperti sebelum ni. At least, biarlah dia tahu selain keluarga dia, aku ada dengan dia.”

Zarif tersengih nakal. “Dahsyat juga kau ya kalau dah mabuk cinta ni. Dulu, punyalah kau usaha gila-gila dapatkan alamat Aufa, kau jumpa famili dia tanya keadaan dia. Kau jumpa doktor peribadi dia tu bincang masalah darah beku dia tu. Kalaulah dia tidak terlibat dalam kemalangan sekali dengan ibu bapa kandung dia, mesti semua ni tak jadi kan? Tapi yalah, dah suratan takdir. Bukan kuasa kita.”

Syaraf berkerut seribu. “Kau mimpi jumpa bunian mana semalam ni? Banyak pula ngomel kau waktu gini.”

“Aku jumpa Puteri Gunung Ledang keturunan yang kesepuluh. Dialah yang berikan aku kekuatan berbicara seperti ini,” Zarif ketawa besar. Syaraf juga ikut ketawa, sekadar menghilangkan resah di jiwa.

“Pagi matahari dah naik nanti, kita minta izin dari Mak Cik Fira untuk beransur. Aku nak cari hotel area sini. Kalau kau nak teman aku, ikut aja ya,” ujar Syaraf mematikan tawa Zarif.

“Anggap je la aku tambah cuti aku. Nanti aku text Mail update dia.”

“Aku yakin Aufa akan sedar hari ini,” ujar Syaraf dengan nada yang yakin dan serius.

“Banyaklah kau punya yakin! Cakap macam gaya kau tu psikik konon. Dahlah, dari aku layan jiwang kau ni, baik aku sambung tidur, kasi ketemu sama aku punya Puteri Gunung Ledang tu!” Zarif bingkas bangkit menuju ke katil.

Syaraf tersenyum kecil. Saja dia mahu mengusik sahabatnya itu. Menang juga dia akhirnya. Tawa kecil dalam hati menari riang meraikan kemenangan.

“Nak ke mana ni?”

Aufa dan Asiah berpandangan sesama mereka. Diam sambil memproses maklumat dalam kotak minda masing-masing.

“Maaf bertanya. Nak ke mana saudari-saudari ni?” senyuman nakal terbentuk elok di bibir.

“Balik.”

“Banyak barang ni. Kenapa tak drive datang sini? Hujung minggu di pasar stadium ni memang luar biasa ramainya. Susah tau nak dapat bas kalau dah waktu tengah hari macam ni.”

“Saja nak test ketahanan diri di hujung minggu. Terima kasih kerna bertanya khabar ya,” balas Aufa sinis di samping cuba untuk bersikap ramah. Dia dan Asiah meneruskan langkah ke stesen bas yang berdekatan. Panas terik begini bisa mengundang baran jika salah gayanya untuk bertegur sapa.

“Jomlah naik dengan saya sekali. Saya pun nak balik rumah juga ni. Satu jalan dan juga satu tempat kan kita?” pelawa Syaraf seikhlasnya.

Aufa menggeleng pantas. “Tidak mengapa. Kami balik naik bas je. Kejap lagi sampailah bas ni,” tolaknya lembut ajakan jirannya itu.Tidak mahu terhutang budi dengan sesiapa. Kenal pun tidak seberapa, tegur sapa sesama mereka pula boleh dibilang dengan jari saja, datang dengan tiba-tiba jemput naik kereta sama? Mengundang bahaya ni.

“Jomlah. Saya ikhlas ni nak tolong. Tengah hari terik tak elok berjemur, nanti sakit kepala pula. Jomlah, kereta saya sebelah sana je. Jom,” pelawanya lagi dengan bersungguh sambil mengangkat dua beg plastik Asiah yang diletakkan ke lantai dek berat, barangkali.

Aufa dan Asiah diam tidak terkata. Mahu tidak mahu, mereka ikutkan saja. Mujur berdua, kalau sorang saja, tidak manis pula dipandang orang.

“Satu jalan je pun kita. Jangan risau, saya baik orangnya,” ujar Syaraf di hadapan sambil tersipu malu.

“Baik ada makna bolehlah,” Asiah berbisik perlahan pada Aufa. Aufa pantas menyiku lengan teman serumahnya itu, khuatir didengari oleh Syaraf kata-kata Asiah tadi.

Syaraf menghabiskan kopi pekat yang dibancuh seusai solat Subuh tadi. Termenung tersandar di sofa mengenangkan semula pertemuannya dengan Aufa. Meskipun tidak selalu bersua, tapi tiap kali detik itu terjadi, dirinya disuntik satu kekuatan yang luar biasa sekali. Aduh, benarkah ini dinamakan cinta?
  *******
“Gerakkan sedikit tangan boleh?”

                Anis memberi bantuan sebaiknya. Selesai satu pergerakan, dia catatkan dalam buku log yang tersedia di sisi katil.

                “Rasa berat. Kaki ni pula macam tak boleh gerak. Saya lumpuh ke Anis? Doktor?” tampak jelas riak cemas di wajahnya. Silih berganti memandang wajah ibu dan jua ayahnya.

                “You just wake up from a long sleep dear. It takes time for all your nerves to work normal again. Give some more time ya? Do not push yourself so hard dear.”

                Lega. Syukur dipanjatkan hanya pada Yang Maha Kuasa. Benar juga kata Doktor Premida itu. Dia baru sahaja sedar dari koma sejam yang lalu. Ibu dari tadi tidak henti-henti mengurut lembut kedua kakinya sambil diiringi dengan selawat.

                “I need to do some small tests to you this late evening ya. These tests to ensure that you are 100% recover. Just calm and relax dear. Everything will be fine,” ujar kembali Doktor Premida sebaik sahaja menyerahkan semula buku rekod kesihatan Aufa pada Anis.

                “Ayah, ibu, Along dan Anis. Alhamdulillah biiznillah, Adik boleh ingat semua. Alhamdulillah,” bicara Aufa sebak sejurus Doktor Premida keluar dari bilik wad itu.

                “Alhamdulillah nak,” ujar Junaidah lantas mengucup ubun-ubun anaknya itu.

                “Saya awak ingat tak?” Syaraf muncul di balik langsir. Sudah lama dia berdiri di belakang tabir itu. Dia pantas bergegas ke hospital saat mendapat panggilan dari Hamka, ayahnya Aufa, menyatakan Aufa sudah sedarkan diri. Sesampai sahaja di pintu wad, dia diminta tunggu di luar kerna hanya keluarga sahaja dibenarkan untuk melawat pesakit. Akur dengan prosedur hospital, Syaraf mundar-mandir di luar bilik.

                Hamka dan yang lain dalam bilik itu berkalih memandang Syaraf di hadapan. Anak muda berkemeja batik pendek itu hanya manis tersenyum.

                Keadaan sunyi seketika dua. Mata-mata kini pada Aufa. Menanti dengan tenang jawapan dari Aufa sendiri. Aufa pula hanya memandang Syaraf kaku dari atas ke bawah. Kemudian dia tersenyum.

                “Maaf, ingatan saya belum pulih sepenuhnya. Siapa ya? Kawan tempat kerja ke? Farhan ke? Ada nama Farhan tika ini dalam ingatan saya tapi tidak ingat pula rupanya,” balas Aufa spontan. Dahinya kerut seribu cuba mengingat gerangan lelaki tersebut. Ya, Farhan barangkali, bisik hatinya buat kali kedua.

                “Assalamualaikum Aufa. Saya pula awak ingat tak?” soal Zarif yang muncul secara tiba-tiba di sebelah Syaraf. Dua tiga kali keningnya diangkat sambil dua jari membuat gaya piece pada Aufa.

                Terhibur dengan telatah Zarif, Aufa tertawa kecil. Perhatiannya kini pada Zarif. Berkerdip matanya cuba mengingat gerangan siapakah Zarif dalam hidupnya.

                “Maaf, saya betul-betul tak ingat pada saudara. Saya tak pernah tengok saudara sebelum ni,” balas Aufa dengan nada perlahan. Serba salah pula rasanya. Encik Halim ke dia ni? Bukan, Encik Halim tidak semuda ini. Siapa pula Encik Halim ini? Kenapa nama itu ada dalam minda aku?

                “Saya minta diri dahulu pak cik, mak cik, Along Mariam, dan Anis. Saya ada appointment dengan client,” Syaraf yang diam dari tadi bersuara.

“Bila masa pula kau ada jumpa client ni?” Zarif menyiku sahabatnya itu.

Syaraf berdehem beberapa kali. Wajahnya tampak kecewa. “Aku nak balik, kalau kau nak ikut aku, baik kau diam.”

“Hati-hati ya nak. Kalau ada apa-apa, jangan segan silu contact pak cik,” Hamka menyambut huluran salam Syaraf. Junaidah pula membalas dengan senyuman, begitu juga Mariam dan Anis. Mereka tidak mampu untuk berkata lebih lanjut dalam suasana begitu. Tidak boleh dipaksa-paksa untuk Aufa kembali ingat semuanya.

“Jaga diri baik-baik ya Aufa. Insha-Allah, nanti ada kelapangan saya datang ziarah awak lagi,” Syaraf mengumpulkan segala kekuatan yang ada melafazkan bicara pada Aufa. Jika diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia pergi dari situ tanpa perlu memandang wanita itu buat tika ini.

Dia perlu bertenang sejenak dua. Ya, dia perlu merawat sedih hati ini seketika.

Aufa mengangguk kecil lantas terus tersenyum. Baiknya lelaki ini. “Terima kasih kerna ziarah saya serta doakan saya, Farhan.”

“Saya gerak dulu jugalah ya semua,” sampuk Zarif. Pedih juga rasa hati bila nama sahabatnya bertukar dengan nama Farhan. Siapa pula Farhan tu ya? Kalaulah ada depan-depan, memang dah kena belasah dah ni.

“Oh ya Aufa,” Syaraf memandang tepat ke mata Aufa. Tidak diendahkan langsung nama Farhan yang dipanggil tadi.

“Saya akan berikan masa seminggu pada diri saya untuk bagi awak ingat siapa saya dalam hidup awak. Saya harap awak boleh bersabar melayan karenah saya sebab saya akan pastikan dalam seminggu ni awak akan panggil setepatnya nama saya dan ingat sebaiknya siapa saya,” getar nada Syaraf meluahkan rasa sedih isi hatinya.

                Sejurus Syaraf dan Zarif keluar meninggalkan wad, Hamka menghampiri anak perempuannya itu. Dipeluknya Aufa yang seakan sedang mengelamun kosong. Dia dapat rasakan anaknya itu sedikit tertekan dengan apa yang telah berlaku sebaik sahaja dia sedar dari koma.

“Doktor bagitahu pada ayah, ketulan darah beku yang pecah tu boleh effect sedikit sebanyak daya ingatan Adik. Adik jangan resah tau, banyak-banyak selawat dan ingat Allah jika Adik lupa sesuatu walhal Adik rasa Adik pernah laluinya. Kita sama-sama pulihkan ingatan Adik nanti,” bisiknya lagi.

“Adik tahu ayah. Adik masih ingat kata-kata Doktor Premida. Jangan risau, Adik okey.”

                Aufa menarik nafas dalam lantas cuba tersenyum. Saat dia sedar tadi, mindanya kosong sahaja. Sangat kosong. Dia lupa di mana dia berada, dan kenapa dia dalam keadaan begitu. Cukup lama masa yang diambil untuk dia mengingat kembali satu per satu yang telah terjadi. Meskipun belum sepenuhnya daya ingatannya pulih, dia sangat bersyukur kerna dia tidak lupa akan keluarganya sendiri.

*******
“Mana seminggu kau tu? Punyalah macam anak jantan macho tempoh hari. Ni dah masuk dua hari dah ni, tak nampak satu habuk pun usaha kau.”

                Zarif menukar siaran televisyen. Bosan pula asyik tengok berita je dari siang tadi. Layan drama melayu la pula.

                “Aku tengah fikirlah ni. Naik pecah pula kepala aku ni duk berfikir je. Kenapalah dalam banyak-banyak orang, aku dia boleh lupa,” diramas-ramas kepala sendiri. Pening.

                “Tapi kan, memang nampak betul muka kecewa kau hari tu. Lagi kecewa bila dia panggil kau Farhan. Memang berubah gila riak muka kau tu,” Zarif menongkat dagu sambil menonton siaran yang baru ditukarnya tadi.

                “Nampak sangat ke?” Syaraf menyoal kembali.

                Zarif mengangguk pantas.

                “Mahu aku tak sedih. Sebulan dah tau aku duduk sini tunggu dia. Alih-alih dia sedar dia panggil aku Farhan. Lupa pula tu kat aku. Memang aku frust betul. Tapi doktor ada bagitahu dulu dah kat aku. Hari-hari aku doa supaya janganlah dia lupa kat aku. Tapi, lain pula jadinya. Berat betul ujian kali ni.”

                “Tu la, aku ajak kau balik sehari dua kau tak nak. Ni sampai meeting penting kat sana pun kau suruh aku pergi sorang je. Tak support member langsung. Haaaa, kan Allah dah balas tu. Relax je la Syaraf. Aku yakin, tak lama lagi sembuhlah Aufa tu. Banyak-banyak sikit doa kau tu. Kau kan suka berdoa. Rajin-rajinkan sikit lagi diri kau tu ya,” usik Zarif.

                “Jom.”

                Syaraf bingkas bangkit dan capai kunci kereta.

                “Pergi mana pula ni? Aku baru nak layan Sinetron ni,” rungut Zarif.

                “Jomlah. Aku nak belikan kek kesukaan dia. Aku ada seminggu je ni untuk bagi dia ingat kat aku semula. Jomlah temankan aku.”

                “Tadi kau kata nak fikir dulu. Kau fikirlah habis-habis sampai boleh buat buku. Lepas tu baru kita bertindak. Aku nak tengok Sinetron ni.”

                Syaraf melutut di hadapan Zarif bagi meraih simpati sahabatnya.

                “Please Zarif. Aku belikan kek, kau tolong hantar kat Aufa. Please. Nanti aku belanja kau meja ofis Ikea yang kau berkenan sangat tu,” rayu Syaraf bersungguh.

                “Haaaa, macam tu lah baru sahabat. Okey, jom. Aku rakam apa yang kau janjikan ni. Balik KL nanti, aku tuntut,” Zarif lantas bangun mempersiapkan dirinya.
*******
Aufa menarik nafas lega.

                Rawatan susulan yang perlu dia hadiri sudah hampir tamat sesinya. Ada lagi dua sesi, dan jika prestasinya baik, dia akan dibenarkan pulang. Terasa lamanya dia di situ. Hampir semua kakitangan di tingkat tersebut kenal akannya, tapi sayang, hanya sorang dua sahaja yang dia mampu ingat.

                “Alhamdulillah, Cik Aufa dah banyak tunjukkan prestasi yang positif ni. Jika berterusan macam ni, minggu hadapan dah boleh discharge. Boleh rehat di rumah pula,” Anis membetulkan kedudukan Aufa di katil agar lebih selesa dia berehat.

                “Alhamdulillah, Allah jua sebaik-baik Penyembuh. Saya dah boleh jalan dengan lebih gagah sendiri. Tidak perlulah saya bertongkat lagi seperti sebelum pembedahan dulu kan?” girang rasa hatinya apabila merasakan perubahan demi perubahan pada diri.

                Anis diam seketika. Tidak ada pula dia ungkit perihal tongkat. Dan tidak ada pula kelihatannya tongkat di dalam bilik tersebut, kecuali kerusi roda sahaja yang ada.

                “Maaf saya nak tanya Cik Aufa, boleh?” Anis duduk di sisi Aufa, memandang tepat di matanya.

                “Anis nak tanya apa? Tanya je,” balas Aufa tersenyum.

                “Cik Aufa boleh ingat yang Cik ada guna tongkat jalan sebelum ni? Sedangkan dalam bilik ni tiada tongkat pun. Cik Aufa boleh ingat semua tu?”

                Aufa tertawa kecil dengan soalan jujur dari jururawat peribadinya itu, seraya dia mengangguk-angguk.

                “Siapa cakap yang saya lupa semua tu? Saya ingat saya bertongkat, jalan ke tingkap sana tu. Saya tengok bawah ada taman bunga dan saya masih ingat saya minta izin pada awak dan Doktor Premida untuk keluar berjalan-jalan. Mana boleh saya lupa semua tu,” jawabnya sambil tersenyum.

                “Kalau Cik Aufa boleh ingat saat tu, maknanya Cik juga ingat pada lelaki yang datang tempoh hari tu? Kawan Cik Aufa tu?” Anis menduga lagi. Dia pula jadi keliru dengan kenyataan Aufa. Hilang ingatan atau tidak dia ni?

                Aufa sekali lagi tertawa.

                “Saya ingat Anis. Syaraf Zulkifli Bin Zainuddin. Dia merupakan jiran saya. Dia pandu kereta Alza berwarna putih dan sangat kecoh mulutnya. Orangnya tak tinggi dan tak rendah. Baik dan juga sangat prihatin,” spontan Aufa bicara sehingga pipinya kemerahan.

                “Habis tu yang hari tu Cik…”

                “Saya saja nak uji dia. Nak tengok reaksi dia macam mana,” Aufa tertunduk malu.

                Anis menepuk-nepuk bahu Aufa beberapa kali. “Tak baik tau Cik. Kesian dia saya tengok.”

                “Memang betul ada perkara yang saya tak ingat. Saya tak ingat macam mana saya boleh ada darah beku dalam kepala ni, macam mana ibu bapa kandung saya pergi meninggalkan saya, dan zaman saya bekerja. Zaman saya belajar pun saya hanya ingat sikit-sikit, begitu jua dengan kawan-kawan saya. Tapi, keluarga saya, kehidupan saya di hospital ini dan juga Syaraf, ingatan ini tidak pernah hilang saat saya sedar hari tu.”

                “Oh, jadinya saya pun Aufa ingat jugalah ya?”

                Aufa dan Anis terkejut tidak terkata. Zarif tersengih nakal memandang mereka berdua.

                “Apa awak buat kat sini?” Aufa terketar-ketar menyoal.

                “Haaaa, takutlah tu. Sebab tu gagap je. Awak ingat ke tak saya ni?” Zarif kembali menyoal.

                “Seorang sahabat yang sentiasa ada untuk Syaraf. Mana boleh saya lupakan jua sahabat sebaik ini. Zarif Luqman Bin Hamidun,” balas Aufa lantas tersenyum.

                “Haaaa, nasib baik awak ingat dan ada kata puji-pujian. Kalau tak, habislah rahsia awak ni. Awak nak main-mainkan Syaraf ya?” Zarif melangkah menghampiri mereka berdua.

                Aufa menggeleng bersahaja. “Tak, bukan niat saya nak buat begitu. Jangan salah faham.”

                “Awak tahu tak, Syaraf tu bukan main angau lagi dengan awak. Merata dia cari awak kat KL sana tu. Pergi jumpa housemates awak, jumpa kawan-kawan awak, jumpa keluarga awak, jumpa doktor kesayangan awak tu, berdoa tiap-tiap hari untuk awak. Sampai hati awak buat macam ni kat dia. Awak tahu tak, yang dia dah macam orang gila fikir macam mana nak pulihkan ingatan awak dalam masa seminggu ni. Awak tak kesian kat dia ke?”

                “Saya datang sini pun sebab tolong dia hantarkan kek Absolute Chocolate yang awak suka sangat ni. Nah,” Zarif menghulurkan kek Secret Recipe yang dibeli Syaraf tadi.

                Anis hanya membatukan diri. Dia sendiri tidak berani campur tangan urusan Aufa yang ini. Kes berat ni.

                Aufa tunduk menghela nafas. Terbit rasa bersalah yang amat dalam dirinya kerna memperlakukan Syaraf sedemikian rupa.

                “Siapa Farhan tu?” Zarif tiba-tiba menyoal.

                “Saya tak ingat sangat, tapi rasanya macam budak intern waktu saya kerja. Ke staf saya? Sungguh saya tak ingat,” Aufa masih tertunduk.

                Zarif menarik kerusi dan kemudian duduk di sisi Aufa.

                “Aufa, relaks. Jangan pressure sangat. Saya tak marah awak pun. Saja ja nak test suara saya ni. Jangan ambil hati tau. Risau pula saya kang awak pengsan ke, apa ke, saya tak marah pun,” Zarif cuba mengendurkan semula ketegangan yang berlaku tadi.

                Aufa mengangkat sedikit kepalanya. “Saya minta maaf ya Zarif. Bukan niat saya nak mainkan perasaan Syaraf. Saya minta maaf sangat-sangat.”

                Zarif mengibas-ngibas tangannya tanda tidak mengapa.

                “Rahsia ni kita tiga orang je yang tahu. Saya janji dengan awak, saya tak akan beritahu Syaraf. Biar dia. Saya pun nak tengok juga apa usaha dia nak buat untuk bagi awak ingat ke dia tu. Hahahahaha,” Zarif ketawa besar.

                “Maksud awak?” Aufa berkerut seribu. Anis pula menggeleng tidak henti.

                “Teruskan aja rancangan ni. Saya support awak, Aufa. Tapi pinta saya, lepas seminggu ni, buat-buatlah ingatan awak tu dah pulih ya. Kadang-kadang kesian juga tengok sahabat saya tu. Paling saya kesian bila awak panggil dia dengan nama Farhan. Berubah gila muka dia. Hahahahaha. Teruskan je rancangan ni ya,” Zarif tidak henti gelak. Seronok benar dia dengan idea Aufa ini.

                “Saya gerak dululah Aufa ya. Nanti ada pula orang naik minyak dalam kereta tu nanti bila tahu saya lama sangat kat sini. Hahahaha. Lagi satu permintaan saya, Aufa,” Zarif menghentikan tawanya lantas berpaling menghadap Aufa.

                “Apa dia?” Aufa tertanya-tanya sendiri. Permintaan apa pula kali ni?

                “Kalau sahabat angau saya tu minta nak kahwin dengan awak, terima sajalah ya. Kalau awak tolak lamaran dia, saya rasa mahu dia terjun bangunan nanti. Hahahahaha. Okey, gerak dulu,” sambung Zarif sambil ketawa terbahak-bahak. Terhibur sungguh dia hari ini.

                Aufa tertawa kecil. Beberapa kali dia menggelengkan kepala bila teringat bualannya dengan Zarif tadi.

                “Sahabat jenis apa tu Cik Aufa? Kesian Encik Syaraf ya dapat sahabat macam tu,” ujar Anis lantas memicit-micit kepalanya yang tidak pening itu.

                Aufa hanya tersenyum mendengar omelan Anis. Semakin lebar senyumnya bilamana terbayangkan wajah Syaraf tika ini.
**************************************************
 TAMAT
20 September 2016
Ipoh

0 comments:

Post a Comment