Ha'ah

Bismillah.

Lamanya tak update cerpen.
Dalam fail komputer adalah dalam dua tiga cerpen yang tergendala jalan ceritanya.
Hahaha
=.='

Walau apa pun, entri kali ini, nak update cerpen baru.
Cerpen ini tidaklah baru sangat. Dah dekat sebulan sebenarnya usia lewat cerpen ni.
=.='

Tajuknya:
HA'AH

Cerpen ini asalnya saya mahu hantar ke Lejen Press, menyertai pertandingan penulisan cerpen.
Jika cerpen terpilih, akan dibukukan bersama cerpen-cerpen yang lain.
Sayangnya, tiada rezeki nak hantar.
Dek kesibukan yang melanda dengan kerja ofis, saya tidak sempat nak siapkan plot terakhir dan cadangnya nak hantar dua cerpen berkaitan dengan tema yang diberikan.

Rasa sedih sikit, tapi tidak mengapa. Bukan rezeki.
Jadi, saya menamatkan cerpen ini malam ni. 
Cerpen yang ada temanya sendiri. Tema ditentukan oleh pihak penganjur.

Cerpen ni masih perlu banyak diedit, tapi buat masa sekarang, cukup yang ini dahulu.

Selamat membaca :)



“Macam mana ni doktor?”
            Digeleng kepala untuk kali ketiga. Kepakarannya sebagai seorang doktor pakar semakin tercabar.
            “Saya belum pernah jumpa kes sebegini. Laporan kesihatan kawan sedara ni sangat memberangsangkan. Tidak ada cacat celanya. Neuron-neuron sel otaknya sangat baik berfungsi. Tapi, kenapa masih boleh jadi macam ni?” Untuk kali keempat, kepala digeleng tanpa dipinta.
            Keluhan demi keluhan kedengaran, “Nama je doktor pakar, tapi perkara macam ni pun tak dapat nak ubatkan ke? Dah seminggu dah kawan saya seperti orang hilang akal ni. Tak ada gunanya juga jumpa doktor. Buang masa je,”
            Raut wajah Doktor Jesnita berubah. Ternyata emosinya tercedera dengan kenyataan yang didengari sebentar tadi. Kakinya spontan melangkah semula ke meja, tangan juga spontan membuka salah satu laci di mejanya. Satu kad berwarna merah dikeluarkan dari celahan fail-fail yang ada.
            “Beginilah. Bawa kawan sedara ni berjumpa dengan Wak ini. Jika Sains tidak dapat mengubatinya, kita usaha cara lain,”
            Kad tersebut dibelek-belek sehabis baik. Setiap suku kata yang tertulis diteliti satu per satu. Sesaat matanya pada kad, sesaat kemudian berkalih pada kawannya yang di sebelah. Senyum kambing terukir indah di bibir.
            “Aku nak nanti kau cerita dari A sampai Z tau! Jangan nak senyap je. Jangan nak angguk suka hati je. Cerita semuanya nanti!” mata dikecilkan kepala tertoleh ke kiri ke kanan sambil mengingat-ingat alamat rumah Wak yang diberikan oleh Doktor Jesnita dua hari lepas.
            Khairul perlahan-lahan mengangguk. Selesa bersandar dengan terus menerus tersenyum.
            “Kau ingat kan semua cerita?” Johara toleh ke sisi.
            “Ha’ah!”
            “Kau jangan nak ha’ah manjang. Kau buat hal dengan ha’ah kau tu aku humban kau dalam tasik!” amaran keras diberikan.
            “Ha’ah!”
            Kepala digaru-garu, “Haru aku dengan kau ni! Dibuatnya dari mula sampai akhir ha’ah je, susah kita ni!”
            “Ha’ah!”
            Johara mengeluh berat. Sejak sakitnya Khairul, sejak itu jugalah Johara makin kerap mengeluh. Sudah jadi tabiat dan sebati dalam jiwa mengeluh itu.
“Jarang sangat saya berdepan dengan kes seperti kawan sedara ni. Tak silap saya hujung tahun lepas adalah kes akhir yang saya jumpa. Dari perubatan Sains, semuanya normal. Jadi, saya terpaksa minta awak jumpa dengan Wak,”
“Wak tu siapa? Apa kerja dia? Doktor pakar juga ke? Klinik dia kat mana? Mahal tak? Kawan saya tu bukannya ada insurans. Semua ni harapkan saya je tanggung. Kalau mahal sangat, susah saya nak hidup lepas ni,”
“Sakit kawan sedara bukan main-main sakitnya. Dia normal jika dilihat sekali imbas. Tapi jika berkali-kali kita lihat dan berada dengannya, he is someone else,”
“Jo! Ha’ah!”
Johara tersentak. Spontan brek kaki ditekankan. ‘Ha’ah’ yang didengarinya buat dirinya terjaga daripada lamunan mengenangkan bualannya bersama Doktor Jesnita yang cantik menawan. Peluh di dahi dikesat segera. Nasib baik tidak dilanggarnya lembu yang sedang melintas itu.
***


Mata bertentang mata. Khairul memandang ke arah Johara, Johara memandang pula ke arah Wak, dan Wak memandang kami berdua berselang-seli.
Wak mengemaskan lipatan kain pelikatnya. Dibetulkan pula kedudukan songkok hitam legam di atas kepala. Tiga langkah dibuka dan terus melabuhkan punggungnya ke atas sofa.
“Dah dekat sepuluh minit Wak tunggu ni. Kalau yang ni tak nak cerita, kamu tak boleh ke cerita?” pandangan Wak kini tepat menghala ke Johara.
“Bukannya saya tak nak cerita Wak. Saya tak tahu sangat cerita asalnya. Alih-alih dia balik rumah dua hari lepas, dia jadi diam gini. Bila kita ajak sembang, kita gelak dia pun gelak. Kita nangis tengok cerita Hindustan, dia pun menangis. Bila ditanya, dia memang akan jawab, tapi hanya banyaknya “Ha’ah” je yang kedengaran. Muka dia ni pula blur je manjang. Saya tak tahulah Wak. Macam kena sampuk pun ye juga tengok dia ni,”
“Kalau cakap-cakap biasa dia boleh?” Wak masih memandang ke arahnya.
Johara menelan air liur buat kesekian kalinya, ‘Aku dah bagitahu dah tadi, asal tanya soalan yang sama je,’
“Menurut apa yang saya ceritakan tadi Wak, kawan saya ni kalau kita tanya, dia akan jawablah sikit-sikit, tapi selalunya hanya akan dengar “Ha’ah” je,” tenang walaupun dalam hatinya ada baran sedikit. Sungguh pantang kalau dia diminta untuk mengulang-ulang benda yang sama.
“Wak ni faham ke tak apa yang Jo cakap?”
Johara dan Wak membulatkan mata mereka. Lima belas minit sudah berlalu, barulah Khairul bersuara. Merdu juga suaranya. Mungkin Khairul juga turut merasakan kurang senangnya bila ditanya soalan yang sama.
“Wak nak tanya kamu ni anak muda. Jawab soalan Wak baik-baik ya,”
“Ada pergi jalan jauh dalam masa terdekat ni?” soalan pertama diajukan.
“Saya tak suka travel jauh-jauh,” tenang Khairul menjawab. Johara mengangguk lega.
“Selain Johara ni, siapa lagi yang kamu paling rapat?” soalan kedua pula.
“Dia paling rapat dengan saya,” tenang lagi Khairul menjawab. Johara sekali lagi mengangguk lega.
“Bila kali terahir minum air teh?” soalan ketiga terus diajukan.
“Saya tak minum air teh. Saya penggemar tegar horlicks,” selamba nada Khairul. Johara di sebelah tersenyum lega.
“Ada beri air horlicks pada sesiapa?” Wak juga tenang memberi soalan.
“Ha’ah,” ringkas dan padat jawapan Khairul. Johara mengeluh kecil.
“Pada siapa? Johara?” Wak kembali bertanya.
“Ha’ah,” Khairul memejamkan matanya.
“Wak saja nak test drive kawan kamu ni Johara,” Wak berkalih pada Johara.
“Tapi saya dah agak dah Wak. K ni dia boleh jawab secara berterusan hanya tiga soalan sahaja. Lepas tu mulalah ‘Ha’ah’ dia tu. Lepas tu, dia akan jadi macam ni. Blur giler,”
“Berapa lama masanya kita boleh kembali tanya soalan pada dia?”
“Kalau ikutkan kiraan yang biasa saya lalui, adalah dalam dua ke tiga jam. Lepas tu, kita bolehlah sembang macam biasa. Tapi cukup tiga kali sembang, mulalah balik jadi macam ni,”
“Baiklah, Wak dah faham dah,”
Wak duduk tegak di atas sofa. Matanya terpejam rapat persis sedang lena dibuai mimpi indah dalam tidur. Khairul yang berada di hadapan Wak terkebil-kebil melihat Wak diam tidak bergerak.
Johara menggelengkan kepalanya lalu mengerling jam di tangan. Jika duduk diam tidak buat apa-apa, dia pun boleh buat begitu.
‘Betul ke tidak ni Doktor Jes bawa kitaorang jumpa dengan Wak ni? Musykil pula aku tengok Wak diam gini. Eh, sedap pula nama doktor tu kalau aku panggil dia Jes. Kenapa tidak pernah terlintas pun ye selama ni?’
“Johara...” suara garau Wak menyegarkan sel-sel otak Johara.
“Macam mana Wak?”
“Kamu datang semula esok pagi,”
Johara mendengus.
“Wak, satu jam kami kat rumah Wak ni. Itu je yang Wak cakap? Datang esok pagi?”
“Datang semula esok pagi ya,” Wak masih lagi statik duduk tegak begitu.
“Mana ada sangat orang datang berubat macam ni Wak! Wak jangan bikin saya marah! Jauh kot rumah kitaorang nak ke rumah Wak ni!” Johara mengibas-ngibas bajunya. Panas dengan statement Wak.
“Datanglah semula pagi esok ya anak muda,”
Johara mendengus lagi. Terasa sangat membuang masa.
“Ha’ah. Esok,” Khairul kembali bersuara.
Bantal merah dipeluknya erat. Rasa penat sudah mula bermaharajalela. Fikirannya mula berada di awing-awangan. Dia sendiri tidak percaya dengan apa yang dia lalui sepanjang seminggu dua ini. Bangun tidur dia perlu menghadap sakit kawannya. Balik rumah penat terus tidur. Mujurlah dia masih bergelar penganggur terhormat, sekurang-kurangnya ada juga masa yang boleh diluangkan. Dunianya makin gelap. Dengkuran beralun indah.
***


“Apa?!”
“Saya tak nak!”
Khairul seakan histeria. Makin kuat dia melenting. Wak kelihatan tenang.
“Tak ada cara lain ke Wak?” Johara cuba meneutralkan keadaan.
“Itu sahaja caranya. Wak boleh kurangkan blur kawan kamu ini tapi untuk sembuhkan sepenuhnya, dia perlu buat seperti mana yang Wak katakan,”
“Kau ni pun satu! Yang kau pergi kutuk orang-orang pekak dan bisu tu kenapa?!” Johara menyiku beberapa kali kepala Khairul.
“Aku suka! Ha’ah! Mereka pekak. Mereka bisu. Hahahaha,” Khairul lagak histeria lagi.
“Semudah itu sahaja K ni boleh sembuh ke Wak?” Johara menyeka peluh di dahi.
“Hati manusia ni boleh berubah-ubah. Jika mereka sudi maafkan kawan kamu ni, inshaAllah, dia akan sembuh seperti biasa. Air yang Wak bekalkan hanya mengurangkan sahaja. Pujuklah kawan kamu tu. Bawalah dia berjumpa dengan mereka. Moga-moga terbuka pintu hati mereka untuk maafkan dia,”
“Jomlah K!  Kita selesaikan hari ni juga! Aku dah malas dah nak hadap semua ni. Jom!”
Khairul membulatkan matanya, “Aku tak nak! Aku tak nak jumpa mereka!”
“Habis tu kau nak jadi macam ni seumur hidup kau? Ini baru sikit. Esok-esok mereka santau kau pula ke, nak?!”
Wak berwirid sendiri. Langsung tidak dipedulikan gaduh dua kawan tersebut.
“Aku nak tidur! Aku letih! Bosan!” Khairul merendahkan nada suaranya secara tiba-tiba.
“Baliklah anak-anakku. Jangan lupa bawa kawan kamu ni berjumpa mereka tu. Wak pun rasa nak rehat. Waktu sekarang ni, memang waktu Wak rehat ni,” sempat dia mengerling ke jam dinding. 11 pagi.
***
“Wei, jomlah pergi jumpa orang-orang yang dah kau buat hati mereka sakit. Sampai bila nak jadi macam ni? Kau tau kan, selagi mereka tak maafkan kau, selagi tu kau kira berdosa tau,”
“Aku dah cakap tak nak! Tak naklah!” terlukis garisan-garisan kedutan di dahi.
“Kalau kau mati, tak sempat nak minta maaf macam mana? Blur kau ni?”
“Aku carilah mereka kat padang mahsyar nanti! Apa susah?”
Pipi Khairul terasa panas. Pedih juga turut ada. Johara sekuat hati menampar rakannya itu dengan sengaja. Tangannya benar ringan terhayun setelah mendengar Khairul bicara sedemikian.
Khairul mengusap-usap pipinya sekaligus menambahkan lagi kedutan di dahi.
“Kalau kau tak celupar memang tak boleh kan? Kau main-mainlah benda ni! Aku dah malas dah nak nasihat kau!”
“25 tahun kita kawan, kau tak pernah macam ni pun. Caring habis kau dengan aku. Terharu sungguh aku,” kata-kata Khairul menghentikan langkah Johara yang mahu keluar daripada bilik puaka sahabatnya itu.
Johara berpaling.
“Memang kita dah kawan 25 tahun lamanya. Tapi, setelah kau berpindah ke kotaraya ni, tahun ni merupakan tahun ketiga kau tinggal menetap dengan aku di sini. Rumah aku. Tiga tahun yang lepas, aku jaga diri aku je. Tapi sekarang, kalau kau sakit, aku kena jaga kau!”
Mata Khairul berkaca-kaca makin terharu dengan kenyataan Johara. Sahabat dunia akhiratlah katakan.
“Aku tak kisah perihal dosa kau dengan orang-orang kat luar sana tu. Tapi selagi kau tak nak minta maaf, itu tandanya kau pun akan lambat sembuh dari penyakit ni. Bila itu terjadi, makanya, akulah yang kena jaga kau, kan?”
Khairul yang masih tekun mendengar makin berkaca-kaca matanya. Spontan dia mengangguk mengiakan setiap bait kata Johara.
“Kau tak payah nak pandang aku macam kau terharu sangatlah! Kau ingat aku mampu nak jaga kau tiap-tiap hari seumur hidup aku? Baik kau cepat sembuh! Minta maaf dengan mereka! Aku dah penat jaga kau! Kalau kau tak nak buat, keluar dari rumah aku! Tak sesak kepala aku fikir kau!”
Khairul terkebil-kebil.
“Kau dengar tak? Kau buat-buat blur atau buat-buat pekak waktu aku cakap ni, kau keluar dari rumah aku ni sebelum aku tampar kau buat kali kedua!”
“Sampai hati kau. Kata sahabat dunia akhirat,”
“Berkawan pun ada hadnya. Aku kawan, bukan doktor atau pawang! Fikirlah masak-masak! Bosan aku jaga kau! Kat padang masyar nanti kau carilah aku minta maaf sebab menyusahkan aku ye!”
Johara kembali berpaling dan meneruskan langkahnya yang terhenti tadi. Bibirnya terukir senyum nakal.
Khairul masih terkebil-kebil. Dia makin keliru. Kekeliruannya makin menebal sebaik sahaja menerima tamparan pedih Johara.
“Dia akan santau aku tak nanti?” soalnya sendiri.

0 comments:

Post a Comment