Milo Je Kot

Bismillah.

Actually tak tahulah kenapa saya buat cerpen ni.
Hurm.

Idea asal lain, tapi akhirnya jadi lain.
Pepun.. selamat baca~~




“Sedap kuetiau goreng ni,”
            “Sarah beli kat kedai Chinese Mix sana tu. Susah nak cari kuetiau goreng yang sedap-sedap kat kawasan ni,”
            “Banyak je kedai yang jual, Sarah yang tak tahu. Dekat pekan tu, bukan main belambak lagi kedai sedap-sedap,” ibu Sarah, Jamilah kembali menyuap sesudu dua kuetiau goreng anaknya itu masuk ke dalam mulutnya.
            “Sarah rasa, Sarah nak bungkus satu bawa balik. Ibu nak? Malam ni boleh makan ni je, tak perlu nak fikir makan apa dah,”
            Jamilah memberi tanda setuju dengan mengerdip-ngerdipkan matanya beberapa kali.
Sarah segera bangkit menuju ke kaunter kafeteria itu tanpa menghabiskan makanannya terlebih dahulu. Kalau pesan lambat, nanti lambat siap.
“Akak, saya nak kuetiau goreng dua bungkus ya. Satu tu kurang pedas tau,” Sarah memberi pesanan.
Sarah bersandar di dinding sambil matanya gatal melilau memerhatikan orang sekelilingnya. Manalah tahu kalau-kalau ada yang dia kenal, kawan sekolah atau kenalan lama, bolehlah bertegur sapa.
Tidak sampai seminit, Sarah berdiri tegak. Posisi badannya dibetulkan.
“Akak, nanti saya datang balik dan bayar. Akak boleh letak kat tepi je dulu nanti. Saya datang balik nanti,” tergopoh-gopoh dia cuba habiskan bicaranya.
‘Macam mana pula dia boleh ada dekat sini?’ katanya perlahan sambil lagkah diatur kembali ke meja.
“Ada Sarah ni. Ingatkan ibu kamu sorang je,” Mia menyapanya ramah. Tersenyum seperti kebiasaannya.
“Saya pesan kuetiau goreng tadi. Lama sangat, baik duduk sambung makan dulu,” Sarah menjawabnya dengan ramah juga.
Mia mengangguk perlahan. “Kami pun nak makan juga ni. Boleh join sekali?”
“Mama!”
Anak teruna Mia menarik kasar lengan bajunya.
Sarah mencebik, ‘Aku datang sini pun sebab takut kau akan apa-apakan ibu aku,’
Izzue merenung Sarah tajam. Telinga kanannya tergerak-gerak sedikit. Dia dengar apa yang Sarah katakan, walaupun dia hanya berbisik.
“Apalah malang nasib aku jumpa kau pagi-pagi ni?   Tutup pintu rezeki aku je!” Izzue bersuara garau. Wajahnya masam mencuka.
Mia menyiku lengan anaknya itu. Inilah masalah yang dihadapi tiap kali bersua.
“Ada aku suruh kau datang sini ke pun?” Sarah berani menjawab.
Jamilah menaikkan jari telunjuk pada paras bibirnya, isyarat agar Sarah tidak mencetuskan sebarang perbalahan.
Izzue pula mencebik, “Aku rela mati daripada jumpa kau. Sibuk je nak datang sini,”
“Izzue!” Mia masih bersabar.
Izzue kembali menarik mukanya.
“Kalau macam tu mati je lah! Hati aku senang, hati kau pun senang,”
“Sarah! Jangan biadap,”
Izzue mendengus geram. Sarah menahan marah.
“Sudahlah! Tak kan kat sini pun kamu berdua nak bergaduh,” terbantut selera Jamilah melihat kerenah mereka berdua.
“Betul tu. Sudah-sudahlah,” sokong Mia.
“Dia yang mulakan dulu. Dahlah! Kuetiau dah siap dah tu!” Sarah menapak dalam marah meninggalkan semua. Hatinya panas dengan sikap jirannya itu. Setiap kali berjumpa, pasti akan cari salahnya.
“Kalau mama nak duduk kat sini, go ahead! Izzue dah duduk nun jauh hujung tu, tenang sikit!” Izzue mengambil arah bertentangan. Langkahnya diperbesarkan sambil mulutnya terkumat-kamit membicarakan sesuatu.
Jamilah dan Mia mengeluh kecil. Perkara yang acap kali mereka lalui bila bertembung mata sesama mereka.
*************************
  “Jangan lupa datang lagi tau!”
            Sarah memberikan lambaian terakhir pada rakan-rakannya yang datang ziarahnya tadi. Bila lagi dia dapat bertemu mereka jika tidak pada cuti semester begini.
            Kain baju kurungnya diangkat sedikit ketika melangkah masuk ke rumah, lecak yang masih tersisa selepas hujan tadi mula bercorak pada kasutnya.
            Sarah menghentikan langkahnya seketika. Niatnya untuk menutup pintu pagar rumah dibatalkan serta-merta.
            “Haris! Anak kak Ita ke tu?” perasan dengan kehadiran Haris sejak dia mula keluar rumah sambil mendukung anak kecil menyebabkan Sarah terpaksa bertegur sapa juga.
            “Bila kak Ita balik?” Sarah mengorak langkahnya mendekati Haris yang masih setia berdiri di tepi kereta.
            “Semalam. Saja bawa Talha keluar jalan petang-petang ni,” respon Haris sambil tersenyum.
            Adik jirannya itu punyai senyuman yang manis. Mereka bukan sahaja berjiran, tetapi punyai hubungan saudara yang jauh belah ibu mereka.
            “Comelnya Talha! Talha…” Sarah mencubit-cubit pipi Talha yang sedia montel itu. Jika dilihat dari jauh, seolah pasangan suami isteri Sarah dan Haris ni.
            “Kamu belajar lagi ke Haris?” Talha kini berada dalam dukungan Sarah. Tak tahan dengan kecomelan anak kecil itu, dia segera menghulurkan tangan untuk berganti dukung dengan Haris.
            “Ambil diploma kat Shah Alam,” balasnya sambil bersandar.
            Sarah mengangguk sambil mengacah-acah Talha yang bulat matanya itu.
            “Hah! Kau buat apa tu?!”
            Haris tersentak, serta-merta dia berdiri betul menghala ke arah sergahan yang didengarinya. Sarah menjeling sahaja.
            “Alihkan tangan kau daripada Talha! Siapa suruh kau dukung dia? Haris! Ambil Talha tu!” Izzue Islam bercekak pinggang.
            Talha yang tidak tahu apa-apa hanya terkekek-kekek suka apabila Sarah masih galak mengacahnya.
            “Baik kau serahkan Talha tu kat Haris sebelum aku sendiri ke sana!” Izzue makin meninggikan nada suaranya.
            “Akak, sebelum gunung berapi tu meletus lagi, saya bawa Talha masuklah ye,” Haris menghulurkan tangannya tanpa dipinta. Dia tidak mahu Talha terjejas dengan perbalahan Sarah dan abangnya itu.
            Sarah mengeluh panjang. Lelaki bermata sepet tu memang tidak boleh lihatnya senang.
            “Bukan anak kau pun! Sibuk je kau ni. Tak boleh ke duduk diam dalam rumah tu?!” Sarah mula bersuara.
            “Talha anak sedara aku! Aku tak akan biarkan kau sentuh keluarga aku! Nyah kau!” semakin kasar lagaknya berbicara. Ada dendam kesumat yang masih belum terlangsai.
            Sarah terdiam. Selama ini dia masih boleh bertahan lagi, tapi kali ini, dia benar terasa dengan jirannya itu. Sarah menggigit bibir seraya menahan pola pernafasannya.
*************************
“Apa salah aku?”
            Sarah terus mengusap-usap kucing kesayangannya itu. Setelah penat menyiram pokok-pokok bunga milik ibunya, dia bersila di atas simen sambil bermain-main dengan kucing Parsi coklatnya.
            “Dulu dia baik je dengan aku. Kami kawan baik dulu,” Sarah kembali berbisik.
            “Tepung je ke mama? Kalau ada apa-apa, mesej je la,” kedengaran suara Izzue di balik pagar sebelah.
            Sarah memasang telinga. Mukanya sedikit mencuka. Doanya dalam hati agar jirannya itu tidak akan sedar akan dirinya yang tidak jauh dari pagar pemisah rumah mereka.
            “Kau ni memang tak ada kerja dah ke duduk kat situ?”
            Sarah hanya mendiamkan dirinya. Dia masih mahu mengharap Izzue tidak perasan akan dirinya di situ.
            “Kau nak bajet kau ni pekak ke, atau kau nak bajet yang aku ni tak nampak kau?” Izzue bercekak pinggang.
            Sarah menelan air liur. Kepalanya hanya tertunduk.
            “Nak bajet aku tak nampak la tu. Kalau dah pagar tepi ni mama aku dengan ibu kau pakat nak roboh buat baru, jangan haraplah kau nak bajet halimunan,”
            Sarah mencebik. Kepalanya tetap tertunduk. Memang benar kata Izzue tu. Mana ada benteng di antara rumahnya dan rumah jirannya itu. Jamilah dan Mia sudah mengambil kata sepakat untuk merobohkan dan membinanya yang baru. Ambil masa berminggu juga mahu siap benteng ni.
            “Apa masalah kau ni Izzue? Selalu sangat tak puas hati kat aku,” Sarah akhirnya bangun.
            “Kau tu patut tahu apa masalah kau dengan aku!” Izzue kembali meninggikan suaranya.
            Sarah menahan turun naik nafasnya. Memang dia kerap tercabar tiap kali lelaki di hadapannya ini buka mulut.
            “Aku dah agak dah! Ini mesti kes darjah enam dulu tu kan?” Sarah pula bercekak pinggang.
            Izzue memakai topi keledar merahnya dan siap-siap mahu memanaskan enjin motornya.
            “Izzue! Aku cakap dengan kau ni!” panas makin terasa bila lihat Izzue tidak memberi respon padanya.
            “Selama ni kau dingin dengan aku sebab Milo kan?!” Sarah makin meninggikan suaranya.
            Terhenti gerak-geri Izzue tatkala nama Milo kedengaran.
            “Kau masih berani nak sebut nama Milo depan aku ya,”
            Sarah menelan air liurnya. Nada Izzue berubah seolah-olah sedang menahan marah yang amat sangat.
            “Apa yang bising-bising ni? Sampai ke dalam mama boleh dengar. Apa yang berlaku ni?” Mia tidak senang duduk di dapur apabila dengar bising-bising di luar rumah.
            “Tak ada apa mama. Izzue nak pergi beli barang dah ni,” tenang Izzue bicara.
            Sarah memuncungkan bibirnya. “Dia ni mak cik, selalu tak puas hati dengan saya. Ada sahaja salah saya. Dan hari ni, baru saya tahu, sebab Milo kisah darjah enam tu sampai sekarang dia dingin macam ni,”
            “Hey kau! Boleh tak kalau kau diam?!”
            Sarah tersentak.
            “Izzue! Kenapa sampai nak tengking-tengking macam ni?”
            “Dia ni mama! Tak ada rasa bersalah langsung dengan Milo. Dahlah tiap petang duk memekak kat bilik tu. Rimas tau Izzue dengar. Kalau suara sedap, tak apa juga, ni tak, macam katak kena lenyek je bunyinya. Lepas tu, masih nak ungkit-ungkit hal Milo!”
            “Yang tiba-tiba nak cakap sal aku selalu memekak dalam bilik tu asal? Tak ada kaitan langsung,” bisik Sarah sendiri.
            “Mengumpatlah tu. Macamlah aku tak tahu,” sambung Izzue kembali.
            “Aku malas nak lanjutkan telagah ni. Kalau tentang Milo kau boleh berubah 360 darjah macam ni, aku minta maaflah. Bukan aku sengaja pun. Manalah aku nak tahu Milo ada dalam bilik waktu eksperimen tu,”
            Izzue pula mencebik, “Alasan! Sampai aku mati pun, aku tak akan lupakan apa yang kau dah lakukan pada Milo. Sampai bila-bila pun aku tak akan nak baik dengan kau semula. Kalau kau boleh bawa Milo semula jumpa aku, aku akan maafkan kau. Kalau tak ada, jangan haraplah aku akan baik semula dengan kau!”
            “Izzue! Tak baik buat Sarah macam tu,” Mia cuba menenangkan kedua belah pihak.
            “Habis tu, apa yang dia dah buat pada Milo tu baiklah mama? Dahlah mama, Izzue pergi beli barang dulu,”
            Sarah tidak terkata apa-apa. Nak teruskan minta maaf pun tidak ada gunanya. Tapi dia yakin, bukan salahnya juga semua itu terjadi.
            “Mak cik minta maaf Sarah bagi pihak Izzue. Dia dah lama maafkan Sarah tu, tapi dia masih tak dapat nak lupakan Milo. Izzue sangat sayangkan Milo. Mak cik harap Sarah tak ambil hati sangat dengan Izzue,”
            “Tak apalah mak cik. Perkara dah berlaku pun, nak putar balik masa memang tak dapat dah. Sekurang-kurangnya tekaan saya betul. Saya masuk dalam dulu ya mak cik,” Sarah masih cuba untuk tersenyum.
            Mia hanya memerhati, “Sarah baik orangnya. Anak aku pun baik juga. Tapi kerana Milo, keduanya jadi lain dari yang lain,” Mia mengeluh berat.
            “Aku sayang Milo kau tahu! Memang aku tak akan maafkan kau. Buatlah macam mana pun, kau jiran aku sekalipun, aku tetap tak akan lupakan perkara tu,” Izzue monolog sendiri dan terus memecut laju tanpa menghiraukan penungangg yang lain.
            “Milo je kot. Kau boleh beli yang lain gantikan Milo tu. Tu pun kau nak berdendam teruk-teruk dengan aku,” Sarah mengomel sambil mengatup tingkap biliknya satu per satu. Matanya tidak lepas memandang bilik Izzue yang betul-betul bersebelahan dengan biliknya, hanya pagar benteng antara mereka.
            “Siap kau! Malam ni aku memekak lagi kasi kau tension! Hahaha” spontan Sarah ketawa besar.
*************************
IMBAS KEMBALI.
“Sarah! Bahayalah! Kita mana pernah cuba eksperimen macam ni. Dalam majalah ni kata lain. Kau campur bahan kimia lain. Bahaya ni!”
            Wajah Sarah serius. Tumpuan sepenuhnya pada bahan eksperimen yang sedang dia usahakan.
            “Kalau kau tak yakin dengan aku, kau boleh keluar, tinggalkan aku sorang. Selama buat eksperimen, mana pernah gagal. Kau jangan kecoh boleh tak?”
            Masa terluang sikit, dua sahabat ini akan ke bengkel belakang rumah mereka untuk mencuba pelbagai jenis eksperimen baru yang mereka baca sama ada di laman sesawang, majalah, mahupun buku teks sekolah.
            “Dah berasap ni Sarah! Bau pun lain macam ni! Sarah! Hentikanlah!” Izzue kelihatan cemas apabila reasksi bahan kimia yang sedang diuji kaji seolah-olah menunjukkan reaksi yang kurang baik.
            “Kau ni bisinglah!” Sarah kembali bersuara.
            Tidak sampai lima minit, letupan kecil kedengaran daripada salah satu tabung uji yang ada di atas meja panjang itu. Sarah berdiri statik, Izzue memandangnya cemas.
            “Sarah! Banyak tabung uji kita ni. Semuanya berbuih, macam nak meletup je ni Sarah!”
            Sarah berkerut sambil menghalakan jari telunjuk ke bibirnya, menghantar isyarat agar Izzue senyap.
            Satu lagi tabung uji mereka kedengaran bunyi letupan kecil. Sarah berkerdip tidak henti. Tangannya menyelak semula majalah Sains dan terkumat-kamit sendiri.
            “Kau tahu tak Izzue, hipotesis eksperimen kita ni kena ubah,” Sarah tenang dalam bicara.
            “Hipotesis apanya Sarah? Kau tengok tabung uji depan kau tu. Semuanya macam nak meletup. Tutuplah bunsen burner tu!”
            “Itulah hipotesis kita yang baru! Eksperimen kita ni macam tak berjayalah Izzue. Aku ingatkan, kalau ganti dengan hydrogenni mahulah tunjukkan hasil. Tapi macam nak meletup pula aku tengok ni,” selamba Sarah sambil tersengih.
            “Sarah! Tutuplah tu!” Izzue sedikit melenting.
            “Tak sempatlah Izzue. Kita kena keluar juga. Habis tempat ni nanti Izzue. Dengan kita-kita sekali akan cedera,”
            Satu demi satu tabung uji yang ada mengeluarkan bunyi letupan. Sarah dan Izzue hanya berpandangan sesama mereka. Sarah memberi isyarat untuk mereka segera keluar daripada bengkel. Izzue pula seakan mahu menitiskan air mata kerna takut cedera.
            Tanpa menunggu lama, Izzue melangkah keluar terlebih dahulu diikuti dengan Sarah di belakang. Inilah kali pertama eksperimen mereka gagal.
            “Izzue! Milo kau!”
            Sarah membeliakkan matanya. Kucing parsi kesayangan sahabatnya itu begitu gembira berlari-lari anak masuk ke dalam bengkel. Mungkin pada hemat Milo, Izzue ada di dalam.
            “Milo! Milo! Jangan masuk! Bahaya! Milo!” Izzue segera berpaling dan laju melangkah menuju ke bengkel semula.
            “BOOOOMMMM!!”
            Letupan demi letupan kedengaran. Izzue terhenti langkahnya. Tabung uji berkecai, bahan-bahan kimia tumpah merata tempat.
            “Ya Allah! Api! Api!” kedengaran Mia menjerit mengejutkan Sarah yang masih terpacak menghadap bengkelnya.
            “Milah! Tolong! Api!” Mia kembali bersahut memanggil jirannya.
            Izzue menggigil. Matanya merah berair.
            Sarah memberanikan diri melangkah mendekati sahabatnya itu.
            “Izzue… Milo…” matanya masih pada bengkel.
            “Aku dah cakap! Jangan teruskan eksperimen tanpa bahan tu! Jangan tukar apa-apa! Kau degil! Kau degil! Kau degil Sarah!”
            Sarah terdiam.
            “Kau ganti semula Milo aku Sarah! Milo aku! Milo!” Izzue meracau seperti orang hilang akal.
            “Izzue, mana aku nak tahu Milo akan datang waktu ni. Maafkan aku Izzue. Kemalangan ni Izzue. Jom kita bantu ibu dengan mama kau padam api ni,”
            Izzue segera bangkit menghadap Sarah dengan matanya yang makin merah.
            “Kemalangan kau kata? Kalau bukan sebab kau Sarah, Milo tak akan jadi macam tu! Aku benci kau Sarah! Kau pembunuh!”
            Izzue buka langkah. Ditinggalnya Sarah dan yang lain. Bagi Izzue, Milo menjadi mangsa kekejaman Sarah. Milo mati sebab Sarah!

0 comments:

Post a Comment